MALAYSIA

PM Anwar beri amaran keras kepada Tiong, MOTAC berhubung isu arak

Shafiqa Azami 07/10/2025 | 05:20 MYT
Anwar turut mengingatkan seluruh Jemaah Menteri dan jentera kerajaan agar tidak cuai dalam isu ini, susulan tular gambar minuman keras di majlis Global Travel Meet. -Gambar Bernama
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta kementerian berkenaan agar memastikan insiden penghidangan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran keras kepada Menteri Pelancongan Tiong King Sing dan MOTAC agar tidak mengulangi insiden penghidangan arak dalam acara rasmi kerajaan.
  • Beliau menegaskan bahawa penjelasan mengenai penghidangan selepas acara rasmi tidak boleh diterima kerana ia tetap berlaku dalam majlis yang sama dan bertentangan dengan dasar kerajaan.
  • Anwar turut mengingatkan Jemaah Menteri dan jentera kerajaan agar tidak cuai dalam mematuhi garis panduan protokol rasmi susulan insiden tular di majlis Travel Meet.


Anwar menegaskan penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas majlis rasmi selesai tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan secara tegas melarang sebarang penghidangan arak dalam program kerajaan, tanpa mengira masa atau fasa acara.

“Penjelasan MOTAC bahawa minuman itu dihidangkan selepas selesai acara rasmi tidak wajar sama sekali kerana ia tetap berlaku di tempat dan majlis yang sama.

"Saya telah memberikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian agar perkara sebegini tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, yang menamatkan lawatan rasmi ke Malaysia, hari ini.


Perdana Menteri turut menegaskan bahawa seluruh jentera kerajaan termasuk Jemaah Menteri perlu mengambil iktibar daripada insiden itu dan tidak cuai dalam melaksanakan garis panduan protokol rasmi kerajaan.

“Saya peringatkan Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini,” tegasnya.

Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial memaparkan minuman keras dihidangkan dalam majlis Travel Meet yang dihadiri Tiong, dengan beberapa tetamu dilihat memegang gelas berisi wain dan bir.





#Anwar Ibrahim #minuman keras #MOTAC #Tiong King Sing #amaran keras