KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan ke Turkiye malam ini bagi menyatakan sokongan moral kepada negara tersebut yang dilanda gempa bumi minggu lalu.

Menurut Anwar keputusan untuk ke Turkiye dibuat selepas Presiden Recep Tayyp Erdogan meminta beliau ke sana memandangkan Malaysia merupakan antara negara terawal menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara tersebut.

“Saya diminta oleh Presiden (Turkiye) kalau boleh untuk segera ke sana untuk memberikan moral support  dan saya telah menimbangkan terpaksa bertolak malam ini untuk ke Turkiye untuk menunjukkan sokongan kita kerana beberapa negara telah sampai.

“Presiden Tayyip Erdogan telah meminta kalau boleh saya sampai secara peribadi di sana,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar juga menegaskan, Malaysia akan terus membantu Syria yang turut terkesan dengan bencana gempa bumi, tanpa mengambil kira dasar luar Amerika Syarikat (AS) berhubung negara itu.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan segera menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Syria untuk menjalankan misi bantuan kemanusiaan secepat mungkin, sebaik kerajaan negara itu memberi kebenaran.

"Dari awal lagi, usaha kita mengumpul dana sudah diputuskan untuk turut membantu Syria dan menghantar alat perubatan walaupun ketika itu AS belum memberi pelepasan sekatan.

"Soal kemanusiaan dan bantuan kepada mereka itu, kita tidak hirau dasar AS. Kerajaan Malaysia sudah putuskan sejak minggu lalu bahawa kita tetap akan hantar pasukan membantu sebaik saja ada sambutan daripada kerajaan Syria.

"Tetapi yang telah diputuskan adalah dana dan alat perubatan, selain Menteri Pertahanan ada jelaskan untuk membawa kelengkapan hospital medan ATM untuk dipasang di Syria," katanya lagi.

Anwar juga memaklumkan, kos perbelanjaan untuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye setakat ini adalah sebanyak RM4 juta.

Katanya, kos penghantaran SMART banyak dikurangkan kerana kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Turkiye.

“Kita dah hantar dua pasukan dan pada malam ini satu lagi akan dikirim termasuk Angkatan Tentera Malaysia dengan kemudahan hospital yang telah pun dipasang dan telah beroperasi.

“Sementara itu, kita telah menyediakan… sepatutnya petang esok beberapa syarikat tempatan mengumpul setakat ini ialah RM20 juta termasuk AS$1 juta daripada kerajaan dan AS$1 juta daripada Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar),” katanya.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa dengan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.