[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

PM Anwar bidas pengkritik peranan Malaysia selesaikan konflik Thailand-Kemboja

Seth Akmal 30/12/2025 | 11:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kritikan terhadap peranan Malaysia selaku orang tengah untuk meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.

Menurut Anwar kritikan yang dilemparkan terhadapnya adalah berdasarkan kurang pengetahuan dan prasangka semata-mata.

Tambahnya Malaysia sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika membincangkan perkara tersebut bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

“Kedudukan kita (Malaysia) adalah untuk membantu sebagai orang tengah dan memastikan permusuhan antara kedua-dua pihak dihentikan, (namun) keputusan sepenuhnya terletak pada pihak Thailand dan Kemboja.

“Kita tidak membuat keputusan, kritikan yang dilemparkan kepada kami adalah berdasarkan kurang pengetahuan dan prasangka semata-mata,” katanya semasa sidang media di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

[TERKINI] Sidang media Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim


Tambahnya sebarang keputusan sama ada ketika Deklarasi Kuala Lumpur pada 26 November, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dilaksanakan dengan persetujuan penuh kedua-dua negara.

“Semuanya dilakukan selaras dengan Deklarasi KL, dengan pemahaman serta penyertaan penuh dan akhirnya persetujuan penuh oleh kedua-dua negara,” katanya lagi.

Pada masa sama, Anwar turut mengalu-alukan persetujuan yang dicapai Kemboja dan Thailand untuk mengukuhkan gencatan senjata mereka melalui rundingan langsung yang diadakan di Yunnan, China pada 28 hingga 29 Disember.

“Saya menghargai peranan China dalam perbincangan ini di mana kedua-dua pihak dapat menumpukan perhatian kepada langkah-langkah praktikal bagi mengurangkan risiko dan membina semula keyakinan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam membantu memeterai Deklarasi Kuala Lumpur yang telah menyumbang kepada penghentian konfrontasi antara kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menekankan bahawa pemimpin ASEAN akan terus menilai isu Myanmar dengan berhati-hati, termasuk langkah-langkah berkaitan proses politik yang sedang dijalankan.

Tambahnya tindakan tersebut bertujuan agar tidak timbul insiden keganasan, perpecahan dan pengesahan legitimasi terlalu awal.








#Anwar Ibrahim #konflik Thailand-Kemboja #ASEAN #Myanmar #gencatan senjata #terkini