MALAYSIA
PM Anwar dijadual lancar Aerotrain KLIA yang kembali beroperasi esok

Selepas hampir 28 bulan tergendala, MAHB kini bersedia melancarkan semula perkhidmatan Aerotrain KLIA yang dimodenkan sepenuhnya sekali gus menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam agenda transformasi lapangan terbang negara. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Selepas hampir 28 bulan tergendala, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini bersedia melancarkan semula perkhidmatan Aerotrain KLIA yang dimodenkan sepenuhnya sekali gus menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam agenda transformasi lapangan terbang negara.
Ringkasan AI
- Perkhidmatan Aerotrain KLIA yang dinaik taraf akan kembali beroperasi esok selepas 28 bulan tergendala, dilengkapi tren Alstom Innovia APM 300R yang lebih moden dan mampu membawa 270 penumpang pada kelajuan 56 km/j.
- Proses baik pulih bernilai RM456 juta ini memendekkan perjalanan antara terminal utama dan bangunan satelit kepada kurang tiga minit, serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan dengan sistem pemantauan canggih.
- Aerotrain kini bersedia menyokong peningkatan jumlah penumpang KLIA menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, selepas menjalani ujian keselamatan enam bulan oleh APAD dan mendapat pengesahan daripada Menteri Pengangkutan.
Kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R yang canggih, sistem itu memiliki tiga unit tanpa pemandu yang mampu membawa sehingga 270 penumpang pada kelajuan 56 kilometer sejam.
Justeru itu, perjalanan antara terminal utama dan bangunan satelit kini dipendekkan kepada kurang daripada tiga minit.
Setiap tren dipasang dengan sistem pemantauan keadaan yang canggih bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi serta keselesaan serta keselamatan penumpang sekali gus menangani kebimbangan sebelum ini mengenai kerosakan yang sering berlaku.
Sistem baharu ini telah menjalani ujian ketat selama enam bulan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) antara Januari dan Jun 2025.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata ujian teknikal dan keselamatan itu telah dilaksana bagi memastikan operasi tanpa kesilapan.
Pada asalnya, ia dijadualkan siap pada Mac 2025 namun projek itu berdepan kelewatan disebabkan isu rantaian bekalan global, cabaran integrasi sistem dan kerumitan pemasangan sistem tanpa pemandu yang baharu sambil memastikan operasi di KLIA.
KLIA T1 kini menguruskan pergerakan lebih 100,000 penumpang setiap hari dan Aerotrain memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesalinghubungan yang lancar terutama bagi proses memindahkan penumpang antarabangsa.
Apabila Aerotrain kembali beroperasi, lapangan terbang itu kini lebih bersedia untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan memulihkan KLIA seperti yang diunjurkan ke tahap trafik prapandemik.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menandatangani dokumen berhubung perkara tersebut.
"Tadi saya baru tandatangan dokumen - sah Aerotrain KLIA boleh mula perkhidmatannya semula esok jam 10 pagi!
"Aerotrain ni yang bawa penumpang ulang-alik antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit, supaya perjalanan lebih cepat dan selesa di KLIA Terminal 1.
"Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus siang malam pastikan Aerotrain kembali beroperasi. Jumpa anda di Aerotrain," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami