MALAYSIA

PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya

Bernama 27/07/2025 | 15:18 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pertemuan antara pemimpin Thailand dan Kemboja dijangka berlangsung esok di Putrajaya bagi membincangkan gencatan senjata berhubung konflik antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi penganjur rundingan damai antara Thailand dan Kemboja di Seri Perdana, Putrajaya, esok jam 3 petang.
  • Pertemuan itu bertujuan mencapai gencatan senjata segera susulan konflik antara kedua-dua negara.
  • Anwar dijangka mempengerusikan perbincangan melibatkan syarat-syarat yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.


Beliau berkata rundingan itu akan berlangsung di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, di sini pada 3 petang.

"Mereka (wakil kerajaan Thailand dan Kemboja) telah meminta saya untuk berunding mengenai satu penyelesaian damai, jadi kami akan menjadi tuan rumah mesyuarat itu di sini esok pada pukul 3 petang.

"Jadi, saya sedang membincangkan parameter, syarat-syaratnya, tetapi apa yang penting ialah gencatan senjata serta-merta," kata beliau pada Majlis Ilmu MADANI, di sini malam ini.

Anwar berkata beliau dijangka mempengerusikan rundingan antara kedua-dua wakil negara itu, termasuk membincangkan syarat yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Perdana Menteri berkata perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa mereka mencari penyelesaian terhadap krisis berkenaan.

Selain itu, Anwar berkata beliau difahamkan bahawa China juga pernah menghubungi kedua-dua pihak bagi menghentikan konflik tersebut.

Perdana Menteri berkata satu pasukan dari Malaysia dan mungkin juga dari negara jiran akan memantau perbincangan itu bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik.

"Jadi, mengikut kemampuan kita, kita cuba yang terbaik dan Alhamdulillah, kita diberikan kepercayaan dan penghormatan dan mereka sememangnya rakan rapat kita, jiran kita dan kita bekerja bersama-sama.

"Dan saya harap ini akan berjaya. Kita perlu terus berusaha untuk memastikan parameternya selaras. Menteri Luar dan Kementerian Luar sedang bekerja sepanjang malam untuk memastikan segala-galanya jelas, kerana ia bukan mudah, anda tahu apabila tembakan masih berterusan dan M16 masih berbalas tembakan.

"Jadi, walaupun keadaan ini tidak seteruk di banyak negara lain, kita tetap perlu menghentikannya kerana saya sentiasa berbangga dengan hakikat bahawa ASEAN masih merupakan rantau paling aman di dunia dan ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia," katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa kerajaan Thailand telah mengesahkan akan menghadiri rundingan damai serantau di Malaysia pada Isnin, bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin memuncak dengan Kemboja.

Jurucakap Kerajaan Thailand Jirayu Huangsap berkata tujuan perbincangan ini adalah untuk mendengar cadangan-cadangan yang boleh membawa kepada keputusan yang berasaskan maklumat serta akhirnya mengembalikan keamanan.

-- BERNAMA



#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Anwar bertemu pemimpin Kemboja dan Thailand #gencatan senjata #Putrajaya