[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

PM Anwar dimaklum perkembangan terkini banjir sejurus tiba dari Afrika - KSN

Bernama 25/11/2025 | 03:55 MYT
Shamsul Azri menyambut kepulangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di KLIA daripada lawatan kerja lapan hari ke Afrika. - Gambar Facebook Shamsul Azri Abu Bakar
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi banjir monsun timur laut (MTL) yang menjejaskan beberapa negeri sejurus tiba di tanah air selepas lapan hari mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau sempat memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri selain hal-hal berkaitan perkhidmatan awam.

"Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri telah selamat tiba di tanah air setelah lapan hari bermusafir membawa agenda besar negara ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

"Dalam kesempatan yang singkat, saya sempat memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi semasa musibah banjir MTL yang sedang melanda beberapa negeri dan hal-hal berkaitan perkhidmatan awam," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Anwar memulakan lawatan itu pada 18 Nov lepas ke Ethiopia, yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia, sebagai membalas kunjungan rasmi rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali, pada Oktober 2024.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 Nov sebelum mengadakan lawatan kerja ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov lepas.

-- BERNAMA


#banjir #PM Anwar Ibrahim #ketua setiausaha negara #Shamsul Azri Abu Bakar