Skip to main content

Malaysia

PM Anwar gesa IPT keluar zon selesa, kendurkan birokrasi lapuk

[LANGSUNG] Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 | 26 Ogos 2026
Anwar mengingatkan bahawa kegagalan membuat anjakan segera dengan melepaskan kerangka pemikiran lama akan menyebabkan institusi pengajian tinggi negara terus ketinggalan. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kepimpinan universiti, warga akademik dan pentadbir sektor awam digesa meruntuhkan tembok 'culture of contentment' (zon selesa) serta melonggarkan kekangan birokrasi bagi mendepani cabaran pendidikan dunia pasca-normal yang berubah pantas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kegagalan membuat anjakan segera dengan melepaskan kerangka pemikiran lama akan menyebabkan institusi pengajian tinggi negara terus ketinggalan.

Menurut Anwar, kecenderungan untuk menolak perubahan bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat luar bandar, malah kerap meresap ke dalam kalangan elit politik, pentadbir kementerian dan pengurusan universiti yang sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing.

"Sikap untuk membawa reformasi pendidikan menuntut kita melepaskan sedikit, kalau tidak banyak, beberapa kongkongan dan peraturan sedia ada. Istilah anjakan paradigma ini saya sudah dengar puluhan tahun, tetapi anjakan sebenar jarang berlaku kerana kita terikat dengan kerangka lama.

"Dalam keadaan pasca-normal dan cabaran global yang sangat laju, universiti mesti bertindak pantas dan tidak boleh terlalu terikat dengan prosedur birokrasi dan kekangan kewangan yang mengekang," ujar beliau lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu beliau turut memuji kesediaan beberapa fakulti universiti yang pantas menyambut idea penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) walaupun pada peringkat awalnya dianggap sukar dan memakan masa akibat kerenah pentadbiran.

Anwar berkata,  perbincangan menerusi forum wacana ilmuwan bulanan berkenaan akan terus dijadikan platform penting untuk mengumpul syor daripada Akademi Sains Malaysia dan pakar universiti bagi merangka tindakan susulan kerajaan dalam isu transformasi digital, sekuriti agro-tani, kemiskinan dan pembaharuan sistem pendidikan.

Must Watch Video

Advertisement