SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

PM Anwar gesa PBT, kerajaan negeri tidak abaikan penjaja Melayu di bandar

Seth Akmal 22/08/2025 | 15:00 MYT
Anwar menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Jubli Emas GPPPKMM di MATRADE, malam ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri tidak mengabaikan kepentingan peniaga kecil serta penjaja Melayu di bandar.

Perdana Menteri berkata kehebatan sebuah bandaraya bukan terletak kepada pembangunan sahaja tetapi bagaimana PBT meningkatkan kemudahan asas kepada warga peniaga kecil.

Menurut Anwar, segmen peniaga kecil majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan seharusnya tidak diabaikan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya gesa, kerajaan tempatan dan kerajaan negeri mengambil contoh apa yang kita mula lakukan di Kuala Lumpur, jangan abaikan kepentingan peniaga kecil dan penjaja Melayu terutama di kota.

“Saya harap malam ini, gesaan ini, didengar oleh pimpinan-pimpinan negeri dan PBT,” katanya semasa majlis makan malam jubli emas Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKM) di sini hari ini.

Beliau turut memberi bayangan ada pengumuman tambahan untuk golongan peniaga kecil semasa Belanjawan 2026 pada Oktober.

“Saya sudah beritahu Kementerian Kewangan dan kementerian yang berbincang bersama merangka belanjawan bahawa di antara tumpuan kita termasuklah soal peniaga yang besar jumlahnya.

“Bagaimana kerajaan negeri, PBT lakukan dan tingkatkan kemudahan asas, bersih, indah. Gerai, warung, pusat penjaja dan peniaga kecil yang baik dan indah.

“Ini kita sudah tumpu dan pengumuman tambahan akan saya lakukan bulan Oktober belanjawan nanti,” katanya.

Anwar turut menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menumpukan kepada kebajikan peniaga kecil.

“Saya gesa bandaraya (DBKL), beri tumpuan dalam dua tahun ini, saya ingat 60 ke 70 gerai dibangunkan semula, diperbaiki.

“Arahan terakhir saya ialah sediakan satu medan selera, kawasan perniagaan dan penjaja kecil Melayu terutamanya, yang hebat di Kuala Lumpur,” katanya.

Perdana Menteri turut meluluskan dana sebanyak RM500,000 kepada persatuan peniaga untuk memanfaatkan kegiatan dan perjalanan persatuan serta gabungannya.




#DBKL #peniaga #Kementerian Kewangan #pbt