KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya mempunyai jasa menerusi sumbangan beliau dalam syarikat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton).

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sempena ulang tahun Proton ke-40 hari ini berkata, Kerajaan Perpaduan menzahirkan penghargaan terhadap Tun Mahathir atas sumbangannya itu.

"Wajar dalam mengenang perjalanan Proton 40 tahun, di pihak pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang kita ucap terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai sumbangan dalam Proton," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap para Majlis Perasmian Proton X90 di Auditorium Dewan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu turut meletakkan harapan terhadap Proton agar syarikat pengeluar kereta nasional itu mampu untuk menghasilkan kenderaan elektrik.

Menurut Tun Mahathir, kebanyakan pembeli kereta elektrik memperoleh insentif daripada kerajaan berikutan faktor kurangnya kesan terhadap pencemaran.

Tun Mahathir juga telah memperkenalkan kereta nasional pertama itu pada 1983 dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian.

Tindakan itu katanya dilihat mampu meneroka bidang automatif dengan lebih meluas selain turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika itu.