KAJANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan kediamannya jam 9.28 pagi ini, menuju ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Hari ini merupakan hari pertama beliau memasuki pejabatnya bagi memulakan tugasan rasmi di Putrajaya.

Sebelum meneruskan perjalanan, Anwar yang mengenakan baju Melayu berwarna merah jambu sempat menyapa wakil media dengan ucapan ringkas.

"Hari ini pergi kerja," katanya kepada wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar rumahnya.

Terdahulu, kediaman beliau di Bandar Sungai Long, di sini itu, mula dikawal ketat anggota keselamatan.

Petugas media tiba seawal jam 6.30 pagi bagi membawakan liputan pergerakan Perdana Menteri ke-10 itu.


Semalam, Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu berkata, kerajaan perpaduan yang ditadbirnya bakal menumpukan kepada soal pembangunan ekonomi.

Selain itu, beliau turut memberi penekanan terhadap penolakan budaya rasuah selain tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan gejala itu.

Difahamkan, beliau juga bakal menunaikan solat Jumaat di Putrajaya hari ini.


Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara sekitar jam 5.06 petang.

Dalam PRU15 lalu, PH berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen manakala Perikatan Nasional (PN) menguasai 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) manakala satu kerusi masing-masing dimenangi oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua kerusi dimenangi Bebas.