MALAYSIA
PM Anwar: Isu ruang udara, air dan maritim mampu diselesaikan secara konstruktif
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun isu itu kompleks, "tidak ada permusuhan" antara kedua-dua negara dalam menanganinya. - Gambar/ Bernama
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura sedang mengambil langkah untuk menangani isu dua hala yang berlarutan, termasuk ruang udara, bekalan air dan sempadan maritim, melalui pendekatan penglibatan konstruktif yang mencari hasil yang saling menguntungkan.
Berucap pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-12 di Singapura hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun isu itu kompleks, "tidak ada permusuhan" antara kedua-dua negara dalam menanganinya.
"Memang ada perbezaan, tetapi tiada permusuhan. Kedua-dua pihak tidak akan mengambil tindakan yang menjejaskan pergerakan orang atau barangan," kata Anwar.
Beliau berkata buat julung kalinya, kedua-dua negara kini mempunyai "parameter yang jelas, apa yang diperlukan oleh Singapura, apa yang diperlukan oleh Malaysia," yang membolehkan pegawai dari kedua-dua pihak bekerja ke arah penyelesaian yang memberi manfaat bersama serta memastikan perkhidmatan udara dan operasi maritim berfungsi dengan berkesan.
Mengenai ruang udara, Anwar berkata perbincangan memberi tumpuan kepada memastikan pengurusan yang efisien bagi penerbangan ke Changi dan Seletar, dan bagi Malaysia khususnya ke Timur, termasuk Sabah dan Sarawak.
Matlamatnya, tegas beliau, adalah untuk memudahkan operasi yang lancar tanpa menghalang pergerakan bebas.
Wong menambah bahawa pegawai dari kedua-dua negara sedang menjalankan kajian bersama untuk mengoptimumkan pengurusan trafik udara berdasarkan prinsip dan parameter yang dipersetujui bagi memenuhi keperluan masa depan.
Berhubung isu bekalan air, Anwar menyifatkan ia "bukan lagi isu perbalahan" bagi Malaysia, terutamanya Johor, sambil mengakui keperluan bekalan air negeri itu yang semakin meningkat.
Beliau mengalu-alukan cadangan Singapura untuk potensi pelaburan dalam infrastruktur bagi mengukuhkan daya tahan dan kualiti Sungai Johor, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan masa depan seperti musim kering atau perubahan iklim.
Wong juga menyatakan bahawa pegawai sedang membincangkan harga air mentah dan air terawat "tanpa prejudis terhadap kedudukan masing-masing."
Mengenai sempadan maritim, Anwar berkata perkara itu "lebih kompleks," namun menekankan kepentingan untuk bekerja ke arah penyelesaian secara baik.
"Saya telah memberitahu Perdana Menteri Lawrence, rakan-rakan dalam Kabinet dan pegawai kita bahawa kita mesti berusaha ke arah penyelesaian secara baik. Walaupun tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mencapai kemajuan sebahagiannya," katanya.
Beliau menambah bahawa terdapat isu lain yang turut dibincangkan secara meluas, termasuk perkara serantau dan perdagangan, namun secara umumnya, beliau percaya kedua-dua pihak berada pada landasan yang sama.
Dalam pemukiman itu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian perjanjian tambahan kepada perjanjian dua hala Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Baharu-Singapura serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama mencegah penyeludupan dadah dan dalam bidang kesihatan.
Pemukiman Pemimpin Ke-12, yang dihoskan Singapura, turut bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.
-- BERNAMA