PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di pentas diraja pada 7.53 pagi dan disambut dengan alunan lagu Hormat Perdana.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba Dataran Putrajaya pada 7.45 pagi.
Hadir sama, Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta menteri Kabinet yang lain.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 itu turut dihadiri timbalan-timbalan menteri, dif-dif kehormat serta perwakilan asing.
Acara melibatkan penyertaan 10,819 peserta perbarisan merangkumi 76 kontinjen serta 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan selain 22 unit aset kenderaan elektrik (EV).
-- BERNAMA