PM Anwar lancar DPTN 2.0 esok

Bernama
Mac 10, 2023 15:42 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 pada Majlis Himpunan 23K Huffaz yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur esok. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 pada Majlis Himpunan 23K Huffaz yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur esok.
Penasihat program berkenaan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata acara itu, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi menyemarakkan kembali DPTN, akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Pelancaran pelan tindakan DPTN 2.0 ini bererti kita menggerakkan semula pelan tindakan yang patut disemarakkan menerusi badan yang diberikan hak menguruskan DPTN," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Pada 30 Jan lepas, Ahmad Zahid berkata DPTN 2.0 akan dilancar pada 11 Mac dan menerusi dasar itu, kerajaan mahu memastikan golongan huffaz tidak hanya bekerja sebagai imam, guru atau bidang berkaitan sebaliknya kerajaan mahu mewujudkan kerjaya profesional untuk mereka.
Khairuddin berkata pelancaran itu penting untuk memberi gambaran bahawa huffaz dan pendidikan negara tidak boleh dipisahkan.
"Selepas dilancarkan pada 2016, ia wujud dan bergerak tetapi sudah sampai masa untuk kita semarakkan kembali apa yang telah digerakkan dahulu untuk kita kembangkan lagi," katanya.
Beliau juga berkata seramai 23,000 huffaz dari seluruh negara akan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan esok bermula pada waktu Zohor dan menyempurnakan khatam al-Quran sebanyak 1,000 kali sebelum pelancaran DPTN 2.0.
Majlis Himpunan 23K Huffaz yang memasuki edisi keempat itu dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Turut diadakan Ekspo Huffaz 2023 di lokasi sama bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami dan mendekati Institusi Tahfiz al-Quran sebagai asas kepada pendidikan Islam.
-- BERNAMA
#PM lancar DPTN #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Dasar Pendidikan Tahfiz Negara #Mohd Khairuddin Aman Razali