NATIONAL

PM Anwar nafi Terengganu dianaktirikan

Astro Awani 11/04/2025 | 23:30 MYT
Perdana Menteri Anwar menafikan dakwaan Terengganu dianaktirikan, sebaliknya, menjelaskan negeri itu menerima peruntukan jauh lebih lebih tinggi berbanding semasa pentadbiran Perikatan Nasional. - Gambar Bernama
KUANTAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Terengganu dianaktirikan, sebaliknya, menjelaskan negeri itu menerima peruntukan jauh lebih lebih tinggi berbanding semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri turut menggesa rakyat agar tidak terpedaya dengan janji-janji palsu pembangkang selain dalam masa sama menilai usaha kerajaan dalam menyelamatkan negara dan negeri-negeri termasuk Pahang.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan dana besar untuk pendidikan, kesihatan, kemudahan asas dan projek tebatan banjir, sekali gus membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat

"Tetapi apa yang dia (pembangkang) buat, dia jawab dia hamun kita... dia kata kita zalim tak bagi perhatian, tak bagi wang ehsan. Ini wang kita bagi berkali ganda lebih dari wang ehsan untuk pendidikan untuk kesihatan untuk kemudahan asas untuk tebatan banjir yang itu kita lakukan.

"Sebab itu rakyat harus sedar... jangan tertipu dengan pakaian, jangan terpukau dengan janji-janji palsu rakyat harus ikut fakta dengar nilai dengan baik selamatkan negara kita," kata beliau lagi.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Pantai Batu Hitam, Beserah, di sini, pada Jumaat malam.

Jelas beliau, ekonomi negara kini mantap dan tidak berada di ambang kebankrapan, justeru kerajaan komited untuk terus menjelaskan dasar-dasar pembangunan di seluruh negara.

Majlis sambutan yang dibanjiri hampir 30,000 pengunjung itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.







#PM Anwar Ibrahim #terengganu #peruntukan Terengganu #janji palsu pembangkang #Sambutan Aidilfitri MADANI