Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

PM Anwar pertahan pelaburan Khazanah RM600 juta baik pulih Carcosa Seri Negara

Bernama 15/10/2025 | 02:15 MYT
Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi bulan Oktober di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebanyak RM600 juta bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara yang disifatkan mempamerkan kepentingan sejarah dan identiti nasional.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bangunan bersejarah itu bukan sekadar peninggalan era silam, sebaliknya simbol warisan Raja-Raja Melayu serta perjalanan negara menuju kemerdekaan.

"Isu Carcosa ini dibangkitkan...masalahnya, kadang-kadang pembangkang tidak membaca. Ini (Carcosa) ialah warisan. Saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Carcosa sebagai warisan Raja-Raja Melayu yang mempunyai peranan tersendiri.

"Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai sebuah kota moden dari segi teknologi dan segar budayanya. Apabila kita mula melabur di situ, ia akan menarik pelaburan lain untuk berkembang di sekitarnya," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi bulan Oktober di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, Anwar memaklumkan Khazanah memperuntukkan RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.

Carcosa Seri Negara dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan dijadikan kediaman rasminya sejak 1904. Bangunan bersejarah itu juga pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

Menurut Anwar, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Kuala Lumpur itu tidak bermaksud bangunan atau rumah ibadat di sekitarnya akan diabaikan.

"...kita pastikan bangunan lain termasuk gereja dan kuil Hindu tidak diabaikan, sebaliknya dibangunkan bersama," katanya.

Dua hari lepas (13 Okt), Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir menjelaskan bahawa pelaburan berjumlah RM600 juta bagi pemuliharaan warisan di Kuala Lumpur bukan sahaja merangkumi kerja-kerja pemulihan Carcosa Seri Negara, tetapi juga melibatkan enam blok bangunan di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, ibu negara.

Amirul Feisal berkata, pelaburan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Warisan KL, yang bertujuan menggiatkan semula warisan ibu kota serta mentakrifkan semula peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi.

-- BERNAMA






#Khazanah #Anwar Ibrahim #Carcosa Seri Negara #bangunan bersejarah