[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

PM Anwar puji KWSP teroka pendekatan persaraan baharu yang lengkap

Seth Akmal 17/06/2025 | 11:01 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran KWSP hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meneroka pendekatan baharu agar kaedah persaraan dilihat lengkap mengikut arus semasa.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri memuji usaha KWSP meneroka pendekatan baharu, termasuk pelaksanaan skim caruman untuk pekerja bukan warganegara mulai suku keempat 2025, sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial.
  • Beliau menekankan keperluan membina sistem persaraan yang inklusif dan berdaya tahan, agar tiada rakyat menua dalam ketakutan atau kemiskinan, selari dengan jangka hayat yang semakin panjang dan perubahan struktur pekerjaan.
  • Kerjasama erat antara KWSP dan GLIC disifatkan sebagai tonggak penting, dalam membina sistem sokongan menyeluruh melalui peningkatan infrastruktur kesihatan, kebolehcapaian dan kualiti hidup rakyat

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.
“Saya turut memuji langkah KWSP dalam meneroka pendekatan baharu, kita perlu mengiktiraf dan mengakui bahawa (strategi) KWSP pada masa kini sangat baik dan mereka terus meneroka pendekatan baharu agar kaedah persaraan yang lengkap,” katanya.
Anwar mengambil contoh pelaksanaan skim caruman KWSP kepada pekerja bukan warganegara yang bakal dilaksana suku keempat 2025.
“Ia menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam pengukuhan perlindungan sosial,” katanya.
Perdana Menteri turut mengesyor KWSP merangka sebuah sistem yang mencerminkan solidariti kepada seluruh golongan masyarakat yang bakal menjadi pesara.
“Kita juga mesti berfikir untuk membina sistem yang mencerminkan solidariti lebih menyeluruh, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pendapatan terhad sepanjang hayat.
Dalam wawasan kerajaan kita, tiada rakyat Malaysia harus menua dalam ketakutan berhadapan kemiskinan, tidak terbela atau tidak relevan,” katanya.
Anwar semasa berucap turut mengambil contoh beberapa negara yang menilai dasar pekerja dan persaraan sebagai respon kepada jangka hayat yang lebih panjang dengan menyeimbangkan kemampanan fiskal dan keinginan individu untuk terus terlibat dalam dunia pekerjaan.
“Pembaharuan ini turut disertai dengan peningkatan fleksibiliti di tempat kerja dan usaha untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif terhadap semua peringkat usia.
“Ramai warga Malaysia lebih tua hari ini lebih sihat, lebih berpendidikan, dan lebih berkemampuan daripada sebelum ini. Dengan sokongan yang betul, ramai daripada mereka dapat terus menyumbang melalui kerja, bimbingan atau khidmat masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan KWSP dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah isyarat hubungan yang erat antara sektor awam dan swasta yang memberi fokus kepada infrastruktur kesihatan, kebolehcapaian dan kualiti yang telah mewujudkan sistem sokongan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zulqarnain Onn.
Persidangan yang dianjurkan oleh KWSP dengan tema 'Hidup Hingga 100 Tahun: Adakah Kita Bersedia? berlangsung selama dua hari melibatkan ahli akademik dan pembuat dasar membincangkan strategi menangani krisis negara menua.
#Anwar Ibrahim #KWSP #negara menua #ISWC 2025