MALAYSIA
PM Anwar rakam penghargaan kepada Razarudin

Anwar berkata perkara itu disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Razarudin pagi tadi. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain di atas jasa, khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata perkara itu disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Razarudin pagi tadi.
"Saya mendoakan agar Tan Sri Razarudin terus dikurniakan kesihatan yang baik, serta kekuatan untuk terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti.
"Terima kasih atas khidmat bakti yang amat bermakna kepada rakyat dan negara," kata beliau.Razarudin yang menyertai PDRM pada 1982, dilantik sebagai KPN ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 dan akan menamatkan perkhidmatannya Ahad ini.
Sepanjang perkhidmatan, Razarudin telah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada 2016, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah (2016), Timbalan Ketua Polis Perak (2018), Ketua Polis Perak (2019), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (2020) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2021).
Terdahulu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai KPN ke-15 bagi menggantikan Razarudin berkuat kuasa hari ini.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, Anwar memaklumkan turut menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (PTU) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, yang akan bersara pada 26 Jun.
"Sekalung penghargaan di atas segala pengorbanan, khidmat bakti, serta kepimpinan cemerlang beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Didoakan agar Tan Sri Mohd Asghar Khan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dan semangat patriotisme yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan beliau menjadi inspirasi buat generasi pelapis untuk terus berbakti dan mempertahankan tanah air tercinta," kata Anwar.
Mohd Asghar Khan yang dilantik sebagai PTU pada 7 Mac 2022, mula menceburi Angkatan Tentera Malaysia pada 18 Julai 1983 sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja dan memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985.
Beliau yang dikenali dengan call sign "Gunjiz" turut mencipta sejarah apabila menjadi PTU pertama yang menerbangkan pesawat Su-30MKM "Toruk Makto" dalam pertunjukan udara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA' 25), baru-baru ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami