Skip to main content

Malaysia

PM Anwar rasmi cawangan pertama kedai runcit MADANI Mart

KUANTAN, 4 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak perasmian kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama negara di Indera Mahkota 8 (IM8) hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak perasmian kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama negara di Indera Mahkota 8 (IM8) hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di negara ini di Indera Mahkota 8 (IM8) di sini, yang dilaksanakan sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat kedai runcit berkenaan sambil diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh. 

Advertisement

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Inisiatif MADANI Mart yang diterajui Yayasan MADANI merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah.”

Sementara itu, Fuziah ketika ditemui pemberita berkata MADANI Mart merupakan satu pendekatan strategik yang signifikan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh dan bersasar.

Beliau berkata inisiatif itu tidak melibatkan pengeluaran modal daripada kerajaan sebaliknya digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), operator atau pemegang lesen (swasta) dan Yayasan MADANI (sosial).

“Dalam model terdahulu, kerajaan keluar modal dan bayar untuk mengubah suai, beli stok…MADANI Mart kerajaan langsung tidak keluar modal,” katanya ketika ditanya perbezaan MADANI Mart dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Sementara itu, beliau berkata MADANI Mart membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta dalam perniagaan itu. 

MADANI Mart menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia, dengan matlamat memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.

-- BERNAMA

Must Watch Video