Skip to main content

Malaysia

PM Anwar 'salut' petugas, rakyat jayakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69

Pekerja Merdeka
Anwar berkata, semangat, disiplin dan kebersamaan yang dipamerkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu serta saling melengkapi. - Gambar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas dan rakyat yang bersama-sama menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya, pada Isnin.

Beliau berkata, kejayaan sambutan itu terhasil daripada tenaga, masa dan keringat pelbagai pihak yang memastikan acara berlangsung dengan tertib, meriah serta penuh jiwa merdeka.

“Salut saya kepada seluruh petugas yang telah mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Image
Pekerja Merdeka
Setiap petugas telah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka, ujar Anwar.

Anwar turut menghargai sumbangan anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, para kontinjen, penggiat seni, warga media serta sukarelawan.

Menurutnya, anak-anak yang mengambil bahagian juga memainkan peranan bermakna dalam menjayakan sambutan berkenaan.

Perdana Menteri dalam masa sama berterima kasih kepada orang ramai yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam sebelumnya bagi mendapatkan lokasi terbaik untuk menyaksikan sambutan itu.

Seawal pagi, kawasan sekitar Dataran Putrajaya dipenuhi pengunjung pelbagai lapisan usia yang hadir bersama keluarga sambil membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Hantaran berkenaan turut memaparkan suasana di sebalik tabir sambutan, termasuk khidmat bas perantara, kesiapsiagaan pasukan perubatan serta petugas teknikal yang mengendalikan perjalanan acara.

Turut dipaparkan ialah anggota kontinjen dan penggiat seni dalam busana tradisional pelbagai kaum, selain petugas kebersihan yang meneruskan tugas selepas acara berlangsung.

Image
Pekerja Merdeka
Salut saya kepada seluruh petugas yang telah mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ujar Anwar.

“Inilah semangat kebersamaan yang kita dambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Anwar berkata, semangat, disiplin dan kebersamaan yang dipamerkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu serta saling melengkapi.

Must Watch Video

Advertisement