awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Tiga polis, seorang awam maut dalam insiden tembakan di Sibulan, Filipina
Legacy 30 Siti Nurhaliza: Antara nostalgia, kecekalan dan cita-cita baharu tiga dekad
MAIS ingatkan umat Islam tidak sertai aktiviti, tolak sebarang cubaan normalisasi budaya LGBT
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

PM Anwar: Sifat hipokrit global masih berterusan berhubung Gaza

Bernama
Bernama
09/01/2026
14:15 MYT
PM Anwar: Sifat hipokrit global masih berterusan berhubung Gaza
Anwar mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bermula Selasa atas undangan Recep Tayyip Erdogan, sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin lama antara kedua-dua negara. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepimpinan global masih gagal menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, sambil memberi amaran bahawa sifat hipokrit dan kegagalan moral terus menjejaskan usaha menegakkan keadilan serta akauntabiliti.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur kepimpinan global atas kegagalan menangani krisis kemanusiaan di Gaza, menyifatkan sikap hipokrit dan kegagalan moral yang menghalang usaha menegakkan keadilan.
  • Anwar menekankan pentingnya pemahaman masyarakat antarabangsa terhadap sejarah isu Palestin, mempersoalkan kegagalan dalam hal ini.
  • Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesinambungan ketidakadilan kolonial di Gaza yang berlarutan, memperingatkan bahawa kegagalan bertindak akan menimbulkan lebih banyak masalah.

"Bagi saya, saya sentiasa menggunakan istilah hilangnya pertimbangan hati nurani dan kekurangan nilai moral. Malah, ia adalah satu sikap hipokrit serta pengabaian terhadap kewarasan dan akhlak," katanya dalam satu temu bual bersama penyiar awam Turkiye, program One on One TRT World, semasa lawatan beliau ke Turkiye baru-baru ini.
Perdana menteri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bermula Selasa atas undangan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin lama antara kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata skala krisis itu menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana masyarakat antarabangsa memahami akar sejarah isu Palestin.
"Maksudnya selepas semua yang berlaku di dunia, anda masih gagal memahami latar sejarah Palestin? Saya tidak percaya," katanya.
Beliau berkata kegagalan memahami isu tersebut tidak boleh dijelaskan oleh kejahilan semata-mata.
"Kecuali kalau anda mengambil pendirian Zionis fanatik yang sangat kuat, atau pendirian perkauman atau antiwarna, apa sahaja. Tetapi tiada sebab atau alasan mengapa seseorang tidak boleh memahami," katanya.
Dengan membuat perbandingan dengan sejarah Eropah sendiri, Anwar mempersoalkan sama ada manusia telah mengambil iktibar daripada kekejaman masa lalu.
"Jadi saya ingat di Jerman, apa jadi pada kemanusiaan kita? Apa jadi pada pengalaman sejarah kita di Jerman? Tidakkah kita belajar apa-apa?" katanya, sambil menegaskan bahawa pengajaran sejarah seolah-olah diabaikan.
Anwar berkata situasi di Semenanjung Gaza bukanlah perkembangan baharu, sebaliknya mencerminkan kesinambungan ketidakadilan kolonial.
"Kolonialisme sepatutnya sudah berakhir, selesai dan mati, tetapi kolonialisme masih wujud. Ia berkembang di Palestin, di Gaza, di depan mata berbilion orang," katanya sambil menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin telah berlarutan sejak puluhan tahun.
"Orang mati, orang diperlakukan seperti hamba, dan bukan tahun ini, bukan selepas 7 Okt, tetapi berdekad-dekad, setengah abad, lebih daripada setengah abad," katanya.
Anwar memberi amaran bahawa kegagalan berterusan masyarakat antarabangsa untuk bertindak akan membawa akibat lebih besar.
"Ia hanya akan mengundang lebih banyak kemarahan, permusuhan, ekstremisme," katanya.
Mengenai akses kemanusiaan, beliau menyuarakan rasa kecewa terhadap sekatan berterusan terhadap penghantaran bantuan.
"Ratusan kontena menunggu, terbiar, untuk menyeberangi sempadan. Dan orang mati di sebelah sana," katanya sambil menekankan kesan terhadap orang awam, terutama kanak-kanak yang mati akibat kelaparan akibat sekatan itu.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Hubungan dua hala
#lawatan rasmi
#krisis kemanusiaan
#Gaza
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan