IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang lapan ekor lembu kepada 2,000 penduduk dari tujuh perkampungan Orang Asli di Ulu Kinta untuk ibadah korban bersempena Aidiladha tahun ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri berkata program dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan penglibatan penduduk Orang Asli.
Beliau berkata program berkenaan antara usaha berterusan bagi memastikan masyarakat Orang Asli di kawasan Parlimen Tambun turut merasai kemeriahan Aidiladha serta menerima manfaat daripada agihan daging korban.
“Program ini melibatkan penyertaan penduduk dari tujuh kampung Orang Asli iaitu Kampung Makmur, Kampung Tonggang, Kampung Chadak, Kampung Suluh, Kampung Suak Petai, Kampung Choh dan Kampung Baduk.
"Sambutan amat menggalakkan berbanding tahun sebelum ini, jadi pada tahun ini kita memperluaskan lagi program dan menambah penyertaan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Korban Perdana Aidiladha dan Kenduri Rakyat 2026 peringkat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Ulu Kinta di Perkampungan Orang Asli Kampung Makmur di sini hari ini.
Mohamad Hairul Amir berkata secara keseluruhan Perdana Menteri telah menyalurkan kira-kira 170 ekor lembu korban untuk diagihkan ke seluruh kawasan Parlimen Tambun sempena Aidiladha tahun ini.
Beliau berkata sumbangan itu membolehkan masjid, surau, persatuan penduduk serta komuniti setempat menganjurkan ibadah korban dan mengagihkan daging kepada golongan yang memerlukan.
"Ini merupakan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira latar belakang masyarakat," katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Makmur Jailani Rasid menyifatkan program berkenaan sebagai platform yang bukan sahaja memberi manfaat melalui agihan daging korban, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata penglibatan tujuh kampung dalam satu program yang sama menjadikan sambutan Aidiladha kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
"Kami berterima kasih atas sumbangan lembu dan daging korban yang diberikan. Program seperti ini memberi peluang kepada penduduk daripada pelbagai kampung untuk berkumpul dan bersama-sama menjayakan ibadah korban," katanya.
-- BERNAMA