[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

PM Anwar terima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025

Faida Rahim 11/09/2025 | 03:00 MYT
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi GIFA, Humayon, dalam satu majlis rasmi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 sebagai pengiktirafan atas peranan beliau dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 atas peranan beliau menjadikan Malaysia peneraju kewangan Islam antarabangsa.
  • Anwar menegaskan bahawa anugerah tersebut mewakili sumbangan ramai pihak termasuk perintis, sarjana dan institusi kewangan tempatan yang membina asas kukuh kewangan Islam.
  • Pengerusi GIFA, Humayon Dar, memuji komitmen Anwar terhadap keadilan, pembangunan sosioekonomi dan pendidikan yang selari dengan prinsip kewangan Islam global.


Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA), Humayon Dar, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di sini.

Dalam ucapannya, Anwar meluahkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada komuniti perbankan dan kewangan Islam, namun menegaskan bahawa penghargaan tersebut adalah hasil usaha kolektif pelbagai pihak.

“Apa jua sumbangan kecil yang saya lakukan, pengiktirafan ini sebenarnya milik mereka yang telah berkhidmat, berkorban dan menunjukkan dedikasi jauh lebih besar daripada saya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para perintis, aktivis, sarjana, ahli akademik dan penggerak yang telah membina asas kukuh kewangan Islam sejak awal lagi.

Anwar juga memuji peranan pengawal selia yang berjaya membentuk rangka kerja berdaya tahan serta inovasi institusi kewangan tempatan dalam menyediakan penyelesaian patuh syariah berskala besar.

“Anugerah ini adalah dorongan buat mereka agar terus cemerlang dalam bidang ini,” tambahnya.

Untuk rekod, Anwar merupakan Perdana Menteri kedua menerima anugerah tersebut selepas Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Antara penerima terdahulu termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam ucapannya, Humayon menyifatkan penganugerahan ini sebagai bukti ketabahan, dedikasi dan kepimpinan Anwar yang berpandangan jauh.

Beliau menekankan bahawa komitmen Perdana Menteri terhadap keadilan, pembangunan sosioekonomi dan pemberdayaan masyarakat selari dengan prinsip asas kewangan Islam.

“Fokus beliau terhadap pendidikan, pembangunan mampan dan ekonomi yang adil telah melahirkan dasar-dasar yang memberi kesan besar bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada dunia Islam dan masyarakat antarabangsa,” katanya.







#Anwar Ibrahim #GIFA 2025 #Anugerah Kewangan Islam Global GIFA #kewangan Islam