PM Anwar tersenarai di tempat ke-10 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia

Anwar digambarkan sebagai tokoh yang melalui perjalanan penuh gelora, termasuk tempoh pemenjaraan yang lama, berdepan pengguguran jawatan serta perjuangan panjang sebagai pemimpin pembangkang. - Foto The Muslim 500
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menduduki tempat ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026, terbitan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) yang bernaung di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt, Amman, Jordan.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai di tempat ke-10 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia 2026, meningkat dari kedudukan ke-15 pada 2025.
- Laporan menyorot perjalanan politik beliau yang penuh cabaran, termasuk peranan sebagai pendamai serantau dan pendukung hak Palestin.
- Penyenaraian mengiktiraf kepimpinan Anwar dalam keadilan sosial, tadbir urus Islam progresif, dan solidariti umat Islam global.
Beliau digambarkan sebagai tokoh yang melalui pelbagai cabaran politik, termasuk tempoh pemenjaraan, pengguguran jawatan, dan perjuangan berpanjangan sebagai pemimpin pembangkang sebelum kembali menerajui pentadbiran negara.
Penerbitan itu turut memetik peranan Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas insiden pertempuran di sempadan, yang membantu mengukuhkan imej Malaysia sebagai pendamai serantau.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan tersebut.
Dalam isu genosid di Gaza, Anwar dikenali sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Palestin dan mengecam kekejaman rejim Zionis.
Beliau juga secara terbuka mengkritik syarikat Meta kerana memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut dan menyeru agar syarikat tersebut tidak tunduk kepada tekanan Israel.
Penyenaraian ini mengiktiraf kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan keadilan sosial, tadbir urus Islam yang progresif, serta komitmen terhadap keamanan serantau dan solidariti umat Islam di peringkat global.
Tokoh yang menduduki tempat pertama dalam edisi 2026 ialah Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut tersenarai di kedudukan ke-15.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


