MALAYSIA

PM Anwar tiba di Rom, mulakan lawatan atas jemputan PM Giorgia Meloni

Harits Asyraf Hasnan 01/07/2025 | 20:15 MYT
Anwar tiba di Rom sekitar 8.30 malam waktu tempatan. Antara yang menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino Leonardo da Vinci ialah Mohamad dan Zahid. - Foto Astro AWANI
ROM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan rasmi Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino Leonardo da Vinci sekitar 8.30 malam waktu tempatan.
Ketibaan Anwar disambut oleh Duta Kanan Hal Ehwal Protokol Itali, Fabrizio Romano dan bekas Duta Besar Itali ke Malaysia, Massimo Rustico.
Menyambut Anwar mewakili delegasi Malaysia pula adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam.
Dalam kenyataan yang dimuat naik sejurus ketibaan, Anwar menegaskan bahawa kunjungan ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, berlandaskan prinsip persahabatan, keyakinan dan saling menghormati.
“Malaysia melihat Itali sebagai rakan strategik penting di benua Eropah dan kita komited untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan serta sektor peralihan tenaga,” jelas beliau.
Selaku Pengerusi ASEAN, Anwar memanfaatkan kunjungan ini sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin kompleks.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa lawatan ini bukan sahaja akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik dalam hubungan Malaysia-Itali, tetapi juga menterjemah impak dan manfaat kepada rakyat
Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dua hala bersama pemimpin tertinggi Itali serta sesi libat urus dengan pemain industri dan komuniti perniagaan, selain memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor bernilai tinggi.
Ini merupakan jemputan rasmi pertama oleh Perdana Menteri Itali kepada Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 10 tahun.
#Anwar Ibrahim #Itali #Hubungan dua hala #lawatan rasmi