MALAYSIA

PM Anwar tiba di Singapura untuk lawatan kerja, sertai Dialog Shangri-La

Syafik Shukri Jalil 31/05/2025 | 04:20 MYT
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 11.39 pagi. - Foto FB Anwar Ibrahim
SINGAPURA: Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja singkat ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22, pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Lawatan ke Singapura: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-22, persidangan utama mengenai pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik.
  • Pertemuan dengan Pemimpin Berpengaruh: Anwar dijadual bertemu Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth, Presiden Boeing Global Dr Brendan Nelson, serta Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam.
  • Penyertaan dalam Dialog Antarabangsa: Persidangan ini melibatkan 47 negara, termasuk pemimpin pertahanan dan keselamatan dunia, membincangkan isu keselamatan serantau dan hubungan Malaysia-Singapura.


Menerusi perkongsian di laman sosial medianya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan menghadap Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

“Semoga lawatan ini membawa manfaat dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura,’’ ujarnya.

Persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik itu, yang dihoskan oleh Singapura, akan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun.

Memetik Reuters pada Jumaat, sidang kemuncak ini akan dimulakan dengan ucaptama oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Sejak diperkenalkan pada 2002, Dialog Shangri-La menjadi platform terbuka dan neutral yang penting untuk pertukaran pandangan mengenai isu-isu serta inisiatif pertahanan dan keselamatan serantau.



#Anwar Ibrahim #Singapura #Dialog Shangri-La #Lawrence Wong #terkini