PM Anwar tiba di Singapura untuk Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12

Anwar (tengah) disambut oleh Dr Vivian (kanan) sebaik tiba di Singapura, pada Khamis. Perdana Menteri tiba di negara jiran itu bagi lawatan kerja sehari untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12. - Gambar ihsan PMO
SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, hari ini, bagi lawatan kerja sehari untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.
Pesawat membawa Perdana Menteri mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 10.39 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan; Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Perdana Menteri diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut serta dalam delegasi rasmi.
Dalam lawatan kerja singkat itu, Anwar dijadual menghadiri sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 di The Ritz-Carlton, Millenia pada awal tengah hari.
Kedua-dua pemimpin, Anwar dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong juga dijadual menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian.
Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada penghujung sesi pemukiman tersebut.
Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara merupakan mekanisme tertinggi untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan dua negara jiran itu.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai AS$78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober 2025, mewakili 13.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


