MALAYSIA
PM Anwar tinjau pembinaan LCS, kemajuan kerja setakat 25 Mei 72.43 peratus
Perdana Menteri beramah mesra bersama warga TLDM ketika meninjau kerja-kerja pembinaan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) di Lumut Naval Shipyard (LUNAS) hari ini. - Foto Bernama
LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat lawatan kerja di Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) Lumut, di sini bagi meninjau kerja-kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di situ.
Ringkasan AI
- Lawatan PM ke Lumut: Perdana Menteri Anwar Ibrahim meninjau kemajuan pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik TLDM di Lumut Naval Shipyard, yang kini mencapai 72.43% siap setakat 25 Mei 2025.
- Kemajuan pembinaan kapal: LCS1 dan LCS2 telah berjaya diluncurkan ke air masing-masing pada 23 dan 8 Mei; LCS1 kini dalam fasa setting to work dan dijadual belayar Disember ini, manakala LCS2 akan memulakan fasa tersebut pada September.
- Perancangan jangka panjang: LCS3 hingga LCS5 masih dalam jadual, dengan penyerahan LCS3 dijangka pada 2027 dan kapal terakhir, LCS5, siap sepenuhnya menjelang 2029.
Beliau diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Anwar turut mendengar taklimat berkenaan kemajuan semasa yang telah dicapai, melibatkan pembinaan lima kapal LCS milik TLDM itu.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan kemajuan kerja keseluruhan pembinaan kapal itu telah mencapai tahap 72.43 peratus sehingga 25 Mei lepas.
Menurut kementerian itu pemantauan rapi bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara diteruskan bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh Lunas sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu.
Kementerian itu turut memaklumkan kapal tempur pesisir (LCS1) telah berjaya diluncurkan ke permukaan air (downslip) mengikut jadual kontrak pada 23 Mei lepas.
"Pada masa ini LCS1 telah pun memulakan fasa setting to work (STW) bermula pada Mei 2025 serta dirancang menjalani aktiviti first sea sailing pada Disember akan datang.
"Bagi LCS2, kapal ini juga telah diturunkan ke air pada 8 Mei dan sedang meneruskan kerja pembinaan dan dirancang memulakan aktiviti STW pada September ini," kata kenyataan itu.
Menurut kementerian tersebut pembinaan LCS3 hingga LCS5 masih mengikut perancangan dengan LCS3 dijangka diserahkan kepada TLDM pada 2027, manakala penyerahan kapal seterusnya adalah selang lapan bulan, sehingga LCS5 siap sepenuhnya pada 2029.
-- BERNAMA