Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

PM Anwar tinjau projek padi organik Desa Gemalai

Bernama 09/08/2025 | 05:41 MYT
Anwar meninjau sekitar projek penanaman padi sempena lawatannya di negeri Kelantan di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Padi Alami hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau projek penanaman padi di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Mulong.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim meninjau projek penanaman padi organik seluas 8.49 hektar di Desa Gemalai, Mulong, Kelantan yang menggunakan sistem solar dan teknologi moden untuk pengairan dan saliran.
  • Projek ini mengamalkan pertanian mesra alam tanpa penggunaan baja dan racun kimia, serta telah mencapai purata hasil sekitar lima metrik tan sehektar sejak dimulakan pada 2023 oleh Mohd Yusri Mohamad Nor.
  • Lawatan turut disertai Menteri Besar Kelantan dan Pengerusi KADA, dengan sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara


Beliau tiba pada 11.15 pagi diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad sebelum mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek berkenaan.

Perdana Menteri kemudiannya menandatangani plak pelaksanaan projek sebelum berjalan kaki ke kawasan sawah untuk meninjau sendiri kaedah penanaman, termasuk penggunaan sistem solar bagi pengairan dan saliran, serta penerapan teknologi moden dalam mengusahakan 8.49 hektar padi organik yang kini memasuki musim penanaman kelima.

Walaupun cuaca panas, Perdana Menteri meluangkan kira-kira 30 minit meninjau lokasi sebelum beredar 11.45 pagi untuk menghadiri program seterusnya.

Desa Gemalai, yang diusahakan oleh Mohd Yusri Mohamad Nor sejak 2023, mengamalkan pertanian mesra alam tanpa baja dan racun kimia.

Projek itu mencapai purata hasil sekitar lima metrik tan sehektar dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui KADA.

-- BERNAMA


#Anwar Ibrahim #KADA #desa gemalai #projek padi organik #Mohd Nassuruddin Daud #terkini