BANGKOK: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand di sini.

Terdahulu Anwar yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Thailand, menyertai ratusan jemaah mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Shafie Napakorn.

Turut bersama Anwar mengerjakan solat Jumaat ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sejurus selepas solat, Awar dilihat beramah mesra serta bersalaman dengan beberapa jemaah, dan beliau turut mengambil peluang sesudah solat untuk menemui beberapa pemimpin kaum Muslim dan komuniti tempatan.

Dalam ucapannya selepas solat, Anwar menyuarakan penghargaan tidak terhingga kepada kerajaan dan pihak berkuasa Thailand, terhadap hubungan baik yang dipelihara kerajaan dengan kaum Muslim di negara berkenaan.

"Saya percaya di Thailand walaupun (komuniti) Islam itu minoriti, tetapi kita harus ada tanggungjawab dan jaga akhlak kita," katanya.

Anwar seterusnya mengulangi pendirian Malaysia untuk memainkan peranan dalam proses rundingan damai konflik Selatan yang berlarutan sejak sekian lama.

"Saya luangkan banyak masa berbincang mengenai isu di selatan Thailand ketika perjumpaan dengan Perdana Menteri Prayuth (Chan o-cha) agar ia dapat diselesaikan secara bijak. Kita diberitahu supaya tidak terlalu lihat kepada perbezaan (pandangan), sebaliknya perlu mewujudkan persefahaman (menyelesaikan konflik di Selatan Thailand).

-- BERNAMA