[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

PM Anwar ucap tahniah kepada Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung

Harits Asyraf Hasnan 04/06/2025 | 01:20 MYT
Perdana Menteri Anwar menyifatkan kemenangan Lee Jae-myung sebagai detik penting bagi Korea Selatan yang telah melalui tempoh gelora politik yang sengit dengan semangat demokrasi yang utuh. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden baharu Korea Selatan, Lee Jae-myung atas kejayaan beliau dalam pilihan raya negara itu.
Perdana Menteri menyifatkan kemenangan itu sebagai detik penting bagi Korea Selatan yang telah melalui tempoh gelora politik yang sengit dengan semangat demokrasi yang utuh.
“Rakyat telah bersuara untuk pembaharuan dari segi kepercayaan, institusi dan matlamat nasional,” kata Anwar dalam hantaran di akaun media sosial beliau hari ini.
Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Korea Selatan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi, keamanan dan keselamatan.
“Hubungan Malaysia-Korea Selatan telah dipertingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik pada November 2024, satu pencapaian yang mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua negara,” katanya.
Perdana Menteri turut menyuarakan harapan agar ASEAN memainkan peranan lebih penting dalam dasar serantau republik itu memandangkan Malaysia dan Korea Selatan masing-masing mempengerusikan ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun ini.
“Dalam era ketidaktentuan global, kerjasama yang lebih erat antara Asia Tenggara dan Korea Selatan amat penting untuk kita semua,” katanya.
Anwar berkata, beliau menantikan pertemuan bersama Jae-myung di Kuala Lumpur pada Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan Malaysia serta di Gyeongju bagi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.
#PM Anwar Ibrahim #ucapan tahniah #Presiden Korea Selatan #Lee Jae-myung #Pilihan Raya Presiden Korea Selatan