MALAYSIA

PM Anwar umum RM10 juta bantu golongan berpendapatan rendah di Muar

Bernama 27/07/2025 | 05:52 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pelepasan konvoi Kibar Jalur Gemilang selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan 2025 di Dataran Tanjung Emas hari ini. - Foto Bernama
MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM10 juta bagi membantu warga Muar, khususnya golongan B40 di daerah ini.


Ringkasan AI
  • RM10 juta peruntukan segera untuk golongan B40 di Muar: Diselaraskan oleh ICU dan Pejabat Daerah Muar bagi memastikan bantuan bersasar dan efektif.
  • Penegasan semangat kemerdekaan dan keadilan sosial: PM Anwar tegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan agar tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
  • Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 dilancarkan: Melibatkan lebih 300 peserta melalui 88 checkpoint seluruh negara, berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.


Beliau berkata peruntukan itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar bagi memastikan bantuan yang disalurkan bersasar dan memenuhi keperluan sebenar rakyat.

"Saya minta ICU selaraskan, kita tambah keperluan-keperluan kecil rakyat, terutamanya yang susah-susah seperti golongan B40. Kita lulus segera RM10 juta dalam seminggu dua ini untuk rakyat," kata beliau ketika berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.

Anwar berkata langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara, selari dengan semangat kemerdekaan dan keadilan sosial yang menjadi asas perjuangan nasional.

Beliau turut menyeru rakyat supaya menghayati semangat perjuangan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan negara dan penyatuan rakyat Malaysia.

Usai berucap merasmikan majlis, Anwar turut menyempurnakan gimik pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025, melibatkan penyertaan sebanyak 88 unit kenderaan kontinjen darat dan 66 aset pengangkutan air dengan jumlah keseluruhan lebih 300 peserta.

Konvoi ini akan membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara dengan melalui 88 checkpoint, iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) dan dua di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dijadualkan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.

-- BERNAMA




#Anwar Ibrahim #umum bantuan #penduduk Muar #golongan B40 #terkini