Skip to main content

Malaysia

PM arah isu pekerja asing sektor restoran diselesaikan dalam tempoh sebulan

BUTTERWORTH, July 24 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim delivers his speech at the launch of the Indian Muslim Transformation Framework (IMTF) 2030 at the PICCA Convention Centre @ Arena Butterworth, tonight._BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework (IMTF) 2030 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth malam ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan isu permohonan penggajian pekerja asing mengikut keutamaan khususnya bagi sektor restoran, diselesaikan kementerian serta jabatan berkaitan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata kerajaan memahami keperluan mendesak pengusaha restoran di negara ini untuk mengisi kekosongan tenaga kerja, namun pada masa sama perlu memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan secara terkawal.

“Kita tidak boleh buka ruang sepenuhnya semata-mata untuk mengisi kekosongan dalam negara yang terlalu ramai pekerja asing termasuk yang tidak mahir, tetapi saya setuju ada keperluan mendesak mengisi kekosongan pekerja di lapangan tertentu termasuk restoran-restoran.

“Jadi, insya-Allah mulai Isnin, saya bagi tempoh kepada kementerian dan jabatan berkenaan selesaikan isu pekerja asing ikut keutamaan dalam tempoh satu bulan maksimum,” kata beliau pada Majlis Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework (IMTF) 2030 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dan Presiden Pertubuhan Gabungan MUKMIN Nasional (MUKMIN) Datuk Shahul Dawood.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil selaku Jurucakap Kerajaan MADANI berkata kerajaan akan meneliti semula keperluan pengambilan pekerja asing bagi beberapa sektor termasuk restoran dan pembinaan, susulan permohonan yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,

Malaysia ketika ini mempunyai dasar berkaitan had jumlah pekerja asing yang dibenarkan bekerja di negara ini.

Dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara, manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ia disasarkan menurun kepada 10 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM2 juta kepada MUKMIN, bagi kebajikan dan pendidikan anak-anak daripada keluarga miskin sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk memperkukuh akses pendidikan kepada golongan memerlukan.

Terdahulu, Anwar merasmikan IMTF 2030 iaitu kerangka transformasi lima tahun yang pertama dan komprehensif bagi komuniti India Muslim Malaysia, yang menggariskan aspirasi bersama ke arah kecemerlangan pendidikan, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan negara.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video

Advertisement