PM bincang naik taraf infrastruktur, fasiliti penjaja di Kuala Lumpur

Bernama
Januari 11, 2023 11:50 MYT
Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Datuk Azmi Abdul Hamid, di Kementerian Kewangan di Putrajaya. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan dan menaik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di Kuala Lumpur, merupakan antara perkara dibincangkan dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Perdana Menteri mengadakan pertemuan itu bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Datuk Azmi Abdul Hamid, di Kementerian Kewangan di Putrajaya.
"Penjaja dan peniaga kecil merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara yang perlu diberikan perhatian, agar tidak ketinggalan dalam kepesatan pembangunan di ibu negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sebelum ini, Anwar berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya di kawasan bandar, perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa kepada penjaja dan peniaga kecil, agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan suasana kondusif.
Perdana Menteri berkata kemudahan itu perlu disediakan, memandangkan kumpulan berkenaan turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negara, menerusi perniagaan yang dijalankan.
-- BERNAMA
#naik taraf infrastruktur #fasiliti penjaja #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #DBKL