MALAYSIA

PM gesa golongan agamawan tegakkan panji keadilan dan keamanan sejagat

Seth Akmal 28/08/2025 | 08:46 MYT
Anwar hadir di Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan pemimpin agama dalam menyelesaikan konflik di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SUBANG JAYA: Pemimpin agama harus menggalas ‘panji’ dalam menegakkan makna keadilan, nilai kemanusiaan dan kebaikan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin agama agar memainkan peranan utama dalam menegakkan keadilan, nilai kemanusiaan dan keamanan sejagat.
  • Sejarah membuktikan tokoh agama pernah memimpin gerakan anti-kolonial kerana percaya kepada maruah insan dan keadilan sosial.
  • Anwar turut mengkritik percanggahan pendirian pemimpin Barat dalam isu hak asasi dan demokrasi, serta menggesa pemimpin agama tampil sebagai suara moral yang konsisten.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat wujud defisit kepercayaan terhadap pemimpin politik kerana percangahan ketika berbicara soal keamanan yang beliau sifatkan hipokrit.

“Hari ini, di dunia, wujud satu defisit, kemerosotan dalam kepercayaan, wujud defisit dalam kalangan pemimpin politik terhadap makna sebenar keadilan, nilai kemanusiaan, nilai kebaikan.

“Maka, pemimpin agama tiada pilihan lain, anda mesti menggalas panji ini,” katanya.

Menurut Anwar, golongan agama juga pernah memainkan peranan penting menjadi pemimpin dalam gerakan menentang kolonialisme.

Beliau berpendapat ia kerana golongan agamawan pada era penjajahan percaya kepada nilai keadilan untuk masyarakat, wanita dan kanak-kanak.

“Kita tidak boleh lupa hakikat bahawa gerakan anti-kolonial, gerakan anti-imperialis, dipimpin dan dimulakan oleh tokoh-tokoh agama yang terkemuka.

“Mengapa? Kerana mereka percaya pada keamanan, mereka percaya pada keadilan, mereka percaya pada kemanusiaan, mereka percaya pada maruah insan.

“Tiada negara, tiada manusia, tiada wanita, tiada kanak-kanak, tiada bangsa yang seharusnya ditindas atau dikuasai oleh mana-mana kuasa asing,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan pemimpin agama dalam menyelesaikan konflik, di sini hari ini.

Beliau turut berkongsi pengamatannya mengenai pemimpin politik Barat yang sering bercanggah dalam pendirian mereka, khususnya apabila melibatkan isu keamanan dunia dan hubungan dengan negara-negara yang berbeza pandangan.

“Saya melihat terlalu banyak percanggahan, yang kadang-kala tampak sebagai hipokrasi yang nyata.

“Kita berbicara tentang demokrasi, hak asasi manusia, keadilan, tetapi tiada demokrasi, tiada hak asasi, tiada keadilan apabila berhadapan dengan pihak lain,” katanya.

Dalam persidangan yang turut dihadiri wakil pelbagai agama itu, Anwar merayu agar para pemimpin agama tampil memainkan peranan kerana mereka adalah golongan yang benar-benar memahami erti keamanan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar, Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Mohammad Abdulkarim Al-Issa dan pemimpin-pemimpin agama dari seluruh dunia.






#Anwar Ibrahim #pemimpin agama #menegakkan keadilan #nilai kemanusiaan