Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan negeri meningkatkan lagi prestasi penggunaan dana pemberian perbelanjaan penyenggaraan jalan negeri (Pemberian MARRIS) kerana peruntukan besar yang disediakan kerajaan persekutuan untuk memastikan kualiti dan kemudahan jalan raya yang selesa kepada rakyat tidak digunakan sepenuhnya.

Tahun 2013, kerajaan negeri telah membelanjakan 82.1 peratus daripada jumlah disalurkan kerajaan persekutuan iaitu sebanyak RM3.570 juta.

Prestasi ini lebih rendah berbanding tahun 2012 dimana sebanyak 91.2 peratus daripada RM2.85 juta yang disalurkan digunakan.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki perbelanjaan di bawah pemberian MARRIS, kerajaan negeri perlu lihat semula kemampuan dan prestasi masing-masing supaya dapat menjamin tujuan MARRIS diwujudkan iaitu untuk menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat," katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2014 di Putrajaya.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa,

Antara faktor pemberian MARRIS kurang memberangsangkan adalah proses pembahagian kerja antara majlis tempatan serta cuaca.

Sehubungan itu kerajaan negeri diminta melihat semula proses pembahagian kerja supaya prestasi lebih mengalakkan di masa hadapan.

Mesyuarat tahunan ini membincangkan peruntukan kepada semua negeri dan pengurusan kewangan negeri serta perkara-perkara yang berkaitan.

Dalam mesyuarat sama kerajaan persekutuan juga memperuntukkan RM470 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri bagi tahun 2016.

Daripada jumlah itu, RM190 juta adalah pembiayaan caruman kepada negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.

"Pemberian itu diberikan kepada negeri yang mengalami defisit jadi semua yang defisit dari segi perbelanjaan pengurusan ditampung melalui satu formula yang telah kita tetapkan,” katanya

Sejumlah RM280 juta lagi diberikan berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup.

Majlis Kewangan Negara turut meluluskan caruman tambahan bagi tahun 2015 sebanyak RM50 juta.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa hasil negeri bagi membantu negeri-ngeri mengenal pasti sumber hasil baru.

Ia juga diharap dapat meningkatkan kecekapan kutipan hasil termasuk mengurangkan ketirisan.