[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

PM gesa kerjasama pro bono antara industri semikonduktor, universiti

Bernama 12/09/2025 | 04:50 MYT
Anwar berucap pada majlis perasmian peluasan fasiliti X-FAB Sarawak di Kuching hari ini. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemain industri semikonduktor untuk menjalin kerjasama secara pro bono dengan universiti di seluruh negara, dalam usaha membangunkan kepakaran tempatan dan modal insan dalam sektor berteknologi tinggi.

Berucap pada majlis perasmian peluasan fasiliti X-FAB Sarawak di sini hari ini, Anwar menekankan keperluan usaha bersama antara kerajaan, komuniti akademik dan industri bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap tenaga mahir dalam bidang semikonduktor.

"Cabaran ini nyata... Walaupun kita sering membincangkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penghasilan tenaga mahir, secara jujur, kita memang melahirkan jurutera, tetapi itu sahaja tidak memadai sekiranya tiada sinergi antara universiti dan industri.

"Saya ingin meminta pihak industri meluangkan masa untuk mengunjungi universiti, meneliti kurikulum dan disiplin, serta memberikan cadangan segera tentang kekurangan dan perkara yang perlu diperkenalkan.

"Jika berkesudian, hantarlah tenaga pakar untuk memberikan latihan asas, pendedahan dan kuliah..secara pro bono," katanya.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan komited sepenuhnya untuk memacu aspirasi negara dalam bidang semikonduktor menerusi Strategi Semikonduktor Negara (NSS), yang turut mengiktiraf potensi besar Sarawak untuk muncul sebagai pemain global dalam bidang berkenaan.

"Pendekatan NSS ini digubal dengan mengambil kira hakikat bahawa Sarawak mempunyai potensi besar untuk tampil sebagai peneraju global dalam inovasi dan pengeluaran.

"Saya tidak berlebihan apabila menyatakan demikian, memandangkan senario geopolitik ketika ini serta kedudukan Malaysia yang strategik di ASEAN, berhubung dengan Amerika Syarikat, China, Eropah, Asia malah kini Amerika Latin dan Afrika... maka kita berada pada posisi terbaik untuk dilihat sebagai negara yang stabil, berpusat serta bersedia menjalin kerjasama dengan semua pihak," kata beliau.

Pada majlis itu, X-FAB, peneraju global dalam pembuatan semikonduktor analog, campuran isyarat dan khusus, mengumumkan peluasan fasiliti bernilai RM3 bilion di Kuching.

Peluasan tersebut meningkatkan kapasiti pengeluaran wafer X-FAB Sarawak daripada 30,000 kepada 40,000 unit sebulan, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab penting bagi pengeluaran cip berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor automotif, perubatan dan perindustrian.

Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB, Rudi De Winter.

-- BERNAMA





#Anwar Ibrahim #kerjasama pro bono #semikonduktor #universiti