PM hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Sabah Ahad ini

Astro Awani
April 27, 2023 06:42 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kehadiran ke Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyerikan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan Sabah pada Ahad ini (30 April).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Ariffin Arif yang juga pengerusi utama penganjur acara itu berkata Anwar sebelum ini menerima jemputan kerajaan negeri untuk menghadiri rumah terbuka itu yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Perdana Menteri akan bersama-sama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Hajah Dr Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan anggota Kabinet Negeri pada sambutan itu,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu pada Khamis.
Orang ramai turut dijemput hadir memeriahkan majlis berkenaan yang dijadual bermula pada jam 10 pagi.
#Hari Raya Aidilfitri #rumah terbuka #Anwar Ibrahim #Sabah