PM, isteri zahir takziah kepada rakyat Kuwait atas pemergian Sheikh Nawaf

Afiezy Azaman
Disember 18, 2023 03:00 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Kuwait atas pemergian pemerintahnya, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Kuwait atas pemergian pemerintahnya, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan, Anwar berkata, Allahyarham Sheikh Nawaf akan sentiasa dikenang atas sumbangan beliau dalam mengeratkan hubungan erat antara Malaysia dan Kuwait.
"Saya dan Azizah ingin menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah kepada Yang Teramat Mulia, Mahkamah Diraja dan rakyat Kuwait atas pemergian ayahanda tercinta, Yang Amat Mulia Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.
"Semoga Allah SWT mencucuri rohnya dengan ketenangan dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh," kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

"Azizah and I would like to convey our deepest sympathy and heartfelt condolences to Your Highness, the Royal Court and the people of the State of Kuwait on the passing of your beloved father, His Highness Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. His Highness the late Amir pic.twitter.com/BAIEnq9r46

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) December 17, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pemerintah Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, meninggal dunia pada Sabtu lalu pada usia 86 tahun, selepas tiga tahun memerintah, menurut mahkamah diraja.
Dilaporkan, pada November lalu, Sheikh Nawaf dimasukkan ke hospital berikutan masalah kesihatan, namun penyakitnya tidak dijelaskan secara terperinci, menurut agensi berita rasmi KUNA.
Beliau kemudiannya diisytiharkan dalam keadaan stabil.
Berikutan usianya yang semakin lanjut, lazimnya kesihatan beliau menjadi kebimbangan ketika penggal pemerintahannya.
Sheikh Nawaf dinamakan Putera Mahkota pada 2006 oleh abang tirinya, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah dan mengambil alih jawatan pemerintah apabila Sheikh Sabah meninggal dunia pada September 2020 pada usia 91 tahun.
Dilahirkan pada 1937, Sheikh Nawaf adalah anak kelima kepada Almarhum pemerintah Kuwait dari 1921 hingga 1950, Sheikh Ahmad al-Jaber Al-Sabah.
Beliau memulakan kerjaya politiknya pada usia 25 tahun sebagai Gabenor wilayah Hawalli, di mana beliau kekal sehingga tahun 1978 apabila beliau memulakan sedekad sebagai Menteri Dalam Negeri.
#Emir Kuwait #Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah #meninggal dunia #PM zahir ucapan takziah