KAJANG: Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dengan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan itu.

Beliu berkata, langkah itu diambil bagi memulihkan keyakinan rakyat, terutama terhadap kerajaan perpaduan pimpinannya.

“Saya telah umumkan bahawa langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya tidak melihat menteri tanpa kira parti, agama.

“Saya memilih untuk menolak gaji Perdana Menteri,” ujarnya dalam sidang media pada hari ini.

Beliau dalam yang masa sama, turut berikrar bahawa akan memastikan beliau mewakili seluruh rakyat Malaysia serta semua kaum bagi menjamin keharmonian negara ini dan menjadikan negara ini ‘satu’.

“Kerajaan perpaduan akan mengangkat martabat rakyat, menghentikan kebobrokan rasuah.

“Saya juga tegas dalam usaha untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Saya juga memahami keperluan untuk mengangkat penghayatan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera.

“Kerajaan perpaduan akan tetap menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakannya.

“Bangsa Melayu menjadi induknya dan tidak akan bertolak ansur berkenaan hak kewarganegaraan, saya akan mengiktiraf hak semua kaum dan wilayah,” jelas beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang berlangsung di Sungai Long Golf and Country Club di sini, pada Khamis.