MALAYSIA

PM Kemboja, PM Thailand tegaskan komitmen cari penyelesaian damai - PM Anwar

Bernama 13/11/2025 | 15:58 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah berbicara dengan Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menerusi telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahimm berkata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memberi komitmen positif untuk menjaga keamanan serta mematuhi Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
  • Anwar menegaskan Malaysia bersedia terus menjadi pemudah cara dalam usaha damai susulan insiden di sempadan kedua-dua negara.
  • Hun Manet dan Anutin menghargai peranan Malaysia dalam usaha mengembalikan kestabilan dan keamanan di perbatasan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah berbicara dengan Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menerusi telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara.

"Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lepas.

"Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini," katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau berkata kedua-dua perdana menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.

"Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Hun Manet dan Anutin menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lepas, disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Di bawah perjanjian damai itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan pertelingkahan dan membina hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain.

-- BERNAMA


#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #penyelesaian damai #Perjanjian Damai Kuala Lumpur #Thailand dan Kemboja