KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS) yang direka untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sistem yang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan penjimatan kos.

"SIMS bertujuan untuk menggalakkan pengawalseliaan kendiri, mengurangkan pengawasan kerajaan, menyediakan ciri-ciri mesra pengguna, meningkatkan keselamatan dan menawarkan pandangan dalam membuat keputusan penting," katanya ketika berucap pada majlis Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023), anjuran MPOB di sini hari ini.

Sektor kelapa sawit memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dengan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit melonjak kepada RM137.89 bilion pada 2022 daripada RM108.52 bilion pada 2021.

Minyak sawit Malaysia menyumbang 31 peratus daripada eksport minyak sawit dunia, berjumlah 51 juta tan tahun lepas.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri kelapa sawit Malaysia telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk isu perdagangan, dakwaan palsu seperti buruh paksa di ladang, halangan perdagangan dan perubahan iklim, yang kesemuanya telah memberi impak kepada imej dan eksport produk minyak sawit.

Bagaimanapun, Kementerian Perladangan dan Komoditi tetap optimis bahawa isu ini akan ditangani dengan sewajarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Terdahulu, Anwar merasmikan PIPOC 2023, kongres dan pameran minyak sawit terbesar di dunia. Acara dwitahunan anjuran MPOB itu merangkumi empat persidangan serentak dan merupakan antara pameran terbesar yang mempamerkan teknologi, inovasi, produk dan perkhidmatan terkini dalam industri minyak sawit.

Tema tahun ini, 'Navigating Uncertainties, Building Resilience', amat relevan memandangkan ketidaktentuan global yang berterusan yang mendorong Malaysia menilai semula strategi dan pendekatannya dalam cara negara beroperasi.

-- BERNAMA