PM minta Khazanah kembali kepada teras

Bernama
Julai 6, 2018 05:22 MYT
Mahathir semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.--fotoBERNAMA
Khazanah Nasional Bhd, dana kekayaan negara, wajar kembali kepada matlamat terasnya membantu Bumiputera, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata dana itu pada asalnya ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan untuk Bumiputera, yang lazimnya membeli saham dan menjualnya serta-merta kepada orang lain.
"Jadi, untuk menghentikan mereka daripada berbuat demikian, kami wujudkan Khazanah. Namun sekarang Khazanah dilihat mengambil kesemua saham, sama ada ia diperuntukan untuk Bumiputera atau tidak.
"Oleh itu, mungkin mereka boleh kembali kepada tujuan asal," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya, yang disiarkan secara langsung.
Diperbadankan pada 3 Sept 1993, di bawah pimpinan Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri keempat dan sebagai Pengerusi pertamanya.
Khazanah ditubuhkan bagi mengurus aset komersial milik kerajaan pusat, selain merancang pelaburan strategik yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.
"(Tapi), agak jelas (sekarang) mereka melakukan pelbagai perkara yang pelik, mereka membeli rumah, mereka mengambil alih syarikat (yang bukan tujuan penubuhan asal Khazanah)," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa dana itu telah menyimpang daripada tujuan terasnya.
Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat pada 2003.
Pada 2004, di bawah mandat baharu, Khazanah melaksanakan pendekatan pelaburan lebih meluas dan lebih aktif, termasuk meningkatkan prestasi pegangan teras sedia ada dan pada masa yang sama mengenal pasti peluang dalam sektor ekonomi dan geografi baharu.
-- BERNAMA
#Bumiputera #dana #Khazanah #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #saham