KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dua petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, yang maut dalam nahas jalan raya semalam.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, beliau sedih apabila mendapat perkhabaran tentang kemalangan maut itu ketika petugas tersebut dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala di perkampungan Orang Asli.

"Beginilah dugaan dan cabaran yang dilalui petugas-petugas kesihatan setiap hari bagi memastikan setiap seorang rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Inilah pengorbanan para petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan yang lain kepada bangsa dan negara. Saya serta pihak kerajaan amat menghargainya.

"Kepada keluarga Allahyarham Mohd Zuhairi Abdullah dan Allahyarhamah Julayha Kudus, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan takziah dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini," katanya.

Muhyiddin turut mendoakan roh kedua-duanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut mendoakan seorang lagi pegawai perubatan, Dr Muhd Ikhwan Ramlee, diberikan kekuatan dan kesembuhan selepas turut cedera dalam kemalangan itu dan kini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan kira-kira 10.30 pagi di Kilometer 32 Jalan Kuantan-Nenasi-Rompin, kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima mangsa lain selamat dan turut cedera.

Kedua-dua mangsa merupakan sebahagian daripada Pasukan Bergerak Orang Asli JKNP yang akan ke Kampung Orang Asli Api Larat di Nenasi bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.
- BERNAMA