Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau mengetepikan tindakan afirmatif untuk Bumiputera dalam usaha mendapatkan kembali sokongan orang Cina dan India.

"Oleh itu, secara ringkasnya, untuk mengatakan saya mengetepikan tindakan afirmatif, adalah karut," kata beliau dalam catatan terbaharunya dalam blog NajibRazak.com yang dimuat naik pada Ahad.

Dalam catatannya itu, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan kerajaan, selain memberi maklum balas beliau berhubung perkara itu.

"Sebagai prdana menteri, saya juga memberi banyak sokongan kepada orang Cina dan India dan semua komuniti lain yang menjadikan negara kita ini hebat. Namun demikian, ia bukan dilakukan dengan mengabaikan Bumiputera," tegas beliau.

Najib berkata fokus utama beliau ialah untuk meningkatkan carta pai ekonomi agar lebih banyak dapat diberikan kepada semua kaum.

"Selagi saya dapat memastikan wujudnya pertumbuhan ekonomi, maka akan ada mobiliti sosial, dan semua kaum akan dapat mendaki tangga ekonomi yang lebih tinggi," kata beliau.

Mengenai dakwaan bahawa 1Malaysia sama dengan Malaysian Malaysia, Najib menjelaskan bahawa 1Malaysia merupakan suatu usaha untuk mewujudkan perpaduan, dan perbezaan paling utama dengan konsep 'Malaysian Malaysia' ialah 1Malaysia jelas menerima Perlembagaan Malaysia secara keseluruhannya terutama semua peruntukan yang terkandung dalam Perkara 153.

"'Malaysian Malaysia' pada mulanya adalah suatu konsep yang bercanggah dengan Perkara 153 dan kemudiannya bersifat amat taksa. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentu sekali tidak akan ada Majlis Permerkasaan Bumiputera, TERAJU dan lain-lain lagi.

"Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentulah tidak akan ada Model Baharu Ekonomi (MBE), satu rangka kerja untuk meningkatkan sifat ekslusif dalam ekonomi dan pada masa sama, memperkasakan masyarakat Bumiputera agar mereka menjadi lebih berdaya saing," kata beliau.

Oleh itu, katanya, untuk mengatakan bahawa 1Malaysia adalah sama dengan Malaysian Malaysia merupakan suatu perbuatan memutarbelitkan realiti, dengan niat yang tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk menipu orang Melayu.

Mengenai 'jambatan bengkok' yang kononnya kerajaan tidak berani membina jambatan itu di atas tanah Malaysia tanpa mendapat kelulusan daripada Singapura, Najib berkata jambatan itu tidak dibina kerana Malaysia komited untuk mematuhi semua perjanjian yang telah ditandatanganinya.

"Mana-mana jambatan sedemikian, jika dibina bagi menggantikan Tambak Johor tanpa kebenaran nyata daripada PUB (Lembaga Kemudahan Awam) Singapura, akan melanggar hak hartanah di bawah undang-undang antarabangsa," kata beliau.

Perdana menteri berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menasihatkan kerajaan mengenai kesahihan sebarang pengubahsuaian kepada Tambak Johor di bawah undang-undang antarabangsa.

"AGC telah menasihatkan bahawa paip-paip dalam Tambak Johor adalah tertakluk kepada perjanjian air Johor-Singapura (1961, 1962), yang menggariskan bahawa paip-paip milik PUB Singapura, dan sebarang pengubahsuaian paip itu mesti diluluskan oleh PUB," kata Najib.

Beliau berkata hubungan Malaysia-Singapura telah meningkat "ke satu tahap di mana kami kini terlibat dalam projek dan usaha sama yang membawa kedudukan yang menguntungkan bagi kedua-dua buah negara".

"Untuk meningkatkan lagi perhubungan antara Malaysia dan Singapura, kami kini membina keretapi berkelajuan tinggi dan malah, mencetuskan idea jambatan persahabatan yang tidak akan melanggar undang-undang antarabangsa dan melihat kami membina sebuah jambatan yang dimahukan oleh kedua-dua negara," jelas beliau.