Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menzahirkan rasa dukacitanya terhadap tragedi lapan remaja yang terkorban dalam kemalangan ketika berbasikal di Johor Bahru pagi tadi.

Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Baca berita td mengenai 8 remaja & kanak2 yg maut akibat dirempuh kenderaan di Johor pg td. Amat menyedihkan. Takziah kpd keluarga mangsa," katanya di akaun Twitternya @NajibRazak, hari ini.

Kemalangan 3 pagi itu berlaku ketika lapan remaja berkenaan bersama sekumpulan remaja sedang berbasikal menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dan dipercayai sehingga menghalang Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh, tindakan remaja itu menyebabkan sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun dari Taman Pelangi tidak sempat mengelak lalu melanggar kumpulan remaja berkenaan.

Kejadian turut mengakibatkan lima lagi remaja patah kaki, dua tidak stabil berikutan pendarahan di dalam otak dan seorang pula luka di kepala.

-- BERNAMA