MALAYSIA

PM puas hati Aerotrain KLIA beroperasi semula

Seth Akmal 01/07/2025 | 06:03 MYT
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melancarkan semula perkhidmatan tersebut tepat jam 10 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
SEPANG: "Lebih laju dari dahulu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa melancarkan perkhidmatan Aerotrain KLIA di sini, hari ini.

Ringkasan AI
  • Perkhidmatan Aerotrain KLIA dilancarkan semula selepas 28 bulan tidak beroperasi, kini menggunakan tren baharu Alstom Innovia APM 300R tanpa pemandu yang lebih laju dan selesa, mampu membawa 270 penumpang pada kelajuan 56 km/j.
  • Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama Menteri Pengangkutan dan Menteri Pelaburan, dengan penumpang menyambut baik peningkatan kecekapan dan keselesaan perjalanan antara Terminal Utama dan Bangunan Satelir.
  • Projek baik pulih bernilai RM456 juta ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang MAHB berjumlah RM742 juta, susulan insiden gangguan teknikal pada Mac 2023 yang menyebabkan penumpang terpaksa berjalan kaki ke terminal.

Selepas hampir 28 bulan dihenti operasi, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melancarkan semula perkhidmatan tersebut tepat jam 10 pagi tadi.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sementara itu, beberapa penumpang yang ditemui Astro AWANI berkata, mereka gembira dengan penyambungan semula perkhidmatan berkenaan yang disifatkan lebih selesa berbanding sebelum ini.
Aniza suzana, 60, berkata dia berpuas hati dengan perkhidmatan yang pantas dan efisien.
“Memang sangat pantas cekap dan cepat, saya sangat gembira,” ujarnya yang menaiki penerbangan ke Jakarta hari ini.
Pada Isnin, Loke telah menandatangani dokumen sah perjalanan Aerotrain yang membawa penumpang antara Terminal Utama dan Bangunan Satelir, supaya perjalanan lebih cepat dan selesa di KLIA Terminal 1.
Loke turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus sepenuh masa untuk memastikan perkhidmatan tersebut beroperasi semula.
Aerotrain KLIA yang menjadi ikon sejak 1998 kini beroperasi dengan tren baharu Alstom Innovia APM 300R tanpa pemandu selepas melalui proses baik pulih bernilai RM456 juta.
Tren baharu mampu membawa 270 penumpang pada kelajuan 56 km/j.
Proses ini sebahagian daripada Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang MAHB berjumlah RM742 juta bagi menjamin masa depan KLIA sebagai hab penerbangan utama rantau ini.
Langkah tersebut dibuat susulan berlaku kejadian tren yang membawa penumpang terhenti di tengah landasan akibat gangguan teknikal.
Malah kejadian itu mengakibatkan para penumpang terpaksa berjalan kaki menuju ke arah terminal pada Mac 2023.
#KLIA #aerotrain #Anthony Loke #Anwar Ibrahim