Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) menyelesaikan segera masalah dalaman untuk memastikan mandat besar diperolehi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Katanya mandat besar diperlukan oleh BN untuk mempertahankan Putrajaya dan merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat.

"Selesaikan segala permasalahan sesama kita untuk memastikan BN mendapat mandat besar kerana Selangor penting dan juga untuk pertahankan kerajaan pusat," katanya ketika berucap dimajlis sambutan Chap Goh Meh anjuran BN Selangor di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Perdana Menteri berkata banyak di Selangor mampu diselesaikan ika berada di bawah pemerintahan BN dan negeri tersebut akan lebih maju.

"Jika (rakyat Selangor) beri mandat kepada BN di selangor, kita boleh tubuhkan sebuah kerajaan baharu, dan pertahan BN di peringkat pusat dengan mandat yang lebih kuat.

"Saya percaya Selangor akan lebih maju dan negara akan lebih berjaya. Jika kerajaan mempunyai lebih banyak kuasa, maka banyak masalah boleh diselesaikan," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan lebih berjaya dengan kemajuan dicapai oleh Selangor.

"Selangor terlalu penting bagi masa depan negara. Kita tidak boleh membiarkan Selangor diperintah oleh parti lain dan kerajaan pusat oleh parti lain.

"Banyak masalah yang berlaku (sekarang) sebab tidak datang dari parti yang sama," katanya.

Sebagai contoh, katanya, memorandum yang diterimanya untuk penubuhan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, di bawah Parlimen Pandan, mungkin dapat diselesaikan sekiranya kuasa diberi kepada BN.