MALAYSIA
PM seru umat Islam hindari pemikiran ekstrem
Perdana Menteri Anwar mengajak seluruh umat Islam agar menghindari pemikiran ekstrem sebaliknya mengutamakan pemikiran yang terbuka dan kritis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di Malaysia menghindari dari pemikiran ekstrem.
Menurut Perdana Menteri, masyarakat seharusnya berfikir secara terbuka dan bersikap kritis.
“Saya menyeru agar kita semua menghindari pemikiran ekstrem sebaliknya mengutamakan pemikiran yang terbuka dan kritis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kata-kata aluan sempena Sambutan Maal Hijrah 1447H di Malaysia International Trade And Exhibition (MITEC), di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, masyarakat juga harus meletakkan integriti dan amanah sebab teras dalam kehidupan.
Perdana Menteri turut menyeru masyarakat mengambil pedoman perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.
“Suka saya mengajak kita semua meneruskan misi dan visi perjuangan baginda tanpa gusar dan bimbang akan mehnah serta tribulasi yang bakal kita tempuhi.
“Jalan terus dengan semangat yang satu iaitu demi memastikan syiar Islam terus mekar di bumi Malaysia tercinta ini,” katanya.
Tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini adalah “Membangun Ummah MADANI”.
Menurut Anwar, tema pada tahun ini bertepatan dengan semangat falsalfah yang diambil daripada peristiwa hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mengambil semangat Ma’al Hijrah sebagai dorongan berubah ke arah lebih baik,” katanya.