[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

PM sumbang RM300,000 untuk Alumni Maktab Mahmud

Bernama 26/04/2025 | 09:37 MYT
Sumbangan tersebut diumumkan Fadhlina ketika hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad serta Jamuan Hari Raya Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyumbangkan RM300,000 kepada inisiatif Darul Maahad yang dilaksanakan oleh Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri menyumbang RM300,000 kepada inisiatif Darul Maahad, manakala Kementerian Pendidikan memberi sumbangan khas RM100,000 untuk menyokong usaha melahirkan ulama dan umara.
  • Kerajaan MADANI komited meningkatkan syiar Islam, termasuk mempertahankan penguasaan bahasa Arab dan pelaksanaan inisiatif penghayatan Hadis 40 di Maktab Mahmud.
  • Negeri Kedah mencatat peningkatan prestasi dalam peperiksaan SPM 2024, mendapat pujian daripada Menteri Pendidikan.

Sumbangan tersebut diumumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad serta Jamuan Hari Raya Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah di sini, hari ini.
Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) pula memberi sumbangan khas RM100,000 kepada Maktab Mahmud yang diketahui umum sebagai wadah dalam melahirkan ulama dan umara yang membantu usaha meningkatkan syiar Islam.
"Maktab Mahmud sentiasa dekat di hati Perdana Menteri dan beliau sampaikan salam kepada murid, guru, seluruh warga sekolah dan alumni Maktab Mahmud.
"Tahniah kepada alumni Maktab Mahmud yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan," katanya semasa berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.
Fadhlina berkata Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah dan sentiasa komited terhadap usaha meningkatkan syiar Islam.
"Kebitaraan murid Maktab Mahmud dalam meningkatkan penguasaan, khususnya bahasa Arab perlu terus dipertahankan.
"Selain itu, Maktab Mahmud juga perlu terus meningkatkan pelaksanaan inisiatif penghayatan Hadis 40," katanya.
Sementara itu, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada negeri Kedah yang telah menunjukkan peningkatan prestasi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #inisiatif Darul Maahad #Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah #Fadhlina Sidek