KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan sulung Menteri Luar Arab Saudi, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan di Putrajaya pada Rabu.

Pertemuan itu antara lain membincangkan soal hubungan dua hala membabitkan kedua-dua negara termasuk langkah memperkukuh kedudukan ekonomi.

Justeru, satu Majlis Koordinasi dikenali sebagai Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) akan ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Ini termasuk usaha untuk mengaktifkan semula Saudi-Malaysian Business Council dalam masa terdekat.

Menyentuh mengenai soal ekonomi kedua-dua negara, Ismail Sabri turut mengharapkan agar Arab Saudi meningkatkan lagi jumlah pelaburan yang ketika ini tertumpu di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor menerusi Saudi Aramco.

Ismail Sabri dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan terhadap Arab Saudi yang telah menyumbangkan 1 juta dos vaksin AstraZeneca yang disifatkan terbesar diterima dari negara luar.

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada kerajaan Arab Saudi berikutan pemberian kuota haji yang telah diberikan terhadap jemaah Malaysia bagi tahun ini.

Beliau dalam masa sama berharap agar dapat bertemu dengan beberapa pemimpin negara itu ketika lawatan rasminya yang dijangka berlangsung pada hujun Jun.